Sabtu, 9 Januari 2010

Persepsi Pelajar Luar Terhadap Penggunaan Komputer Dalam Proses Pembelajaran

08/01/2002 5:32 p.m.

Oleh: Dr. Wan Azlinda Binti Wan Mohamed, Nor Hashimah Binti Ab. Hamid Kolej Universiti Teknologi Hussein Onn (KUiTHO). Dipetik daripada ``Proceedings of the International Conference on Teacher Education 16-17 July 2001, Concorde Hotel Shah Alam

Penggunaan komputer dalam pendidikan merupakan langkah awal ke arah mewujudkan masyarakat berteknologi selaras dengan hasrat wawasan 2020.

Komputer dalam pendidikan membolehkan pelajar sekolah menguasai pengetahuan dan kemahiran asas supaya mereka boleh menggunakan kemudahan ini untuk pembelajaran dan persediaan menghadapi cabaran masyarakat yang berasaskan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Kesan negatif yang mungkin timbul daripada kemunculan ICT ialah jurang perbezaan yang lebih besar di antara pelajar bandar dan luar bandar, memandangkan prasarana yang masih belum mencukupi untuk membolehkan mereka dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya maklumat.

Malah di sesetengah sekolah, masih belum ada makmal komputer untuk digunakan.

Sebagai langkah merapatkan jurang ICT antara pelajar bandar dan luar bandar, kerajaan dalam belanjawan 2001 telah berjanji akan menubuhkan sebanyak 1,262 buah makmal komputer di sekolah-sekolah di luar bandar (Utusan Malaysia, 28 November 2000).

Sehubungan itu, kertas kerja ini ingin mengkaji persepsi pelajar luar bandar terhadap penggunaan komputer dalam proses pembelajaran.

Kajian ini meliputi sikap, tahap pengetahuan dan kemahiran di kalangan pelajar luar bandar terhadap penggunaan komputer.

Kajian ini akan dijalankan di salah sebuah sekolah luar bandar di Kedah.

Sampel secara rawak akan dipilih daripada pelajar tingkatan empat untuk menjawab soal selidik yang mengandungi profil pelajar.Soalan berkisar mengenai sikap, tahap pengetahuan dan kemahiran pelajar tersebut terhadap penggunaan komputer dalam pembelajaran mereka.

Kajian ini diharap dapat membantu guru, sekolah, pejabat pendidikan daerah/negeri untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuan penggunaan komputer di kalangan pelajar luar bandar.


Pengenalan

Kemajuan dalam teknologi komputer dan era baru pendidikan pada hakikatnya ingin memastikan yang revolusi maklumat akan mempengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh.

Teknologi komunikasi akan mempengaruhi hidup kita secara lebih mendalam serta menyeluruh.

Teknologi komunikasi dan maklumat adalah medium sumber maklumat yang mudah dan cepat untuk memperolehi ilmu pengetahuan.

Kesedaran kepada kepentingan teknologi maklumat ini telah mendorong kerajaan untuk menerapkan bidang tersebut sehingga ke peringkat sekolah rendah, khususnya di luar bandar.

Ini adalah kerana selain daripada kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), satu lagi kemahiran asas yang diperlukan oleh pelajar untuk bersaing di alaf baru ini ialah celik komputer.

Seseorang itu dikatakan sebagai celik komputer apabila ia mempunyai kefahaman asas fungsi komputer, dapat menggunakan komputer bagi memudahkan pelaksanaan tugas-tugas harian sama ada untuk kegunaan peribadinya atau untuk pekerjaannya dengan cekap dan berkesan, dan dapat berinteraksi dengan komputer dengan menggunakan aplikasi-aplikasi seperti multimedia dan Internet.

Kemajuan yang begitu pesat dalam bidang teknologi elektronik, satelit, telekomunikasi dan teknologi maklumat membolehkan seseorang itu menyampai, mengumpul, menyalurkan, menyebarkan, mengurus, memproses atau menyimpan pelbagai jenis maklumat dengan cepat dan mudah.

E-mel, World Wide Web, teknologi digital, Internet, CD-Rom dan bahan multimedia interaktif menjadi alat atau kemudahan baru dalam sistem pendidikan bersifat bestari.

Menurut Tengku Azzman (1998), terdapat tiga sebab utama mengapa komputer diperlukan dalam pendidikan.

pertama, banyak maklumat yang boleh dicapai daripada komputer tidak boleh dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Kedua, kemampuan mengutip dan menyimpan maklumat serta pengetahuan hanya dapat dikelolakan dengan cekap oleh komputer.

Ketiga, maklumat yang dan pengetahuan menjadi kunci untuk ikhtiar dalam kehidupan manusia, terutamanya untuk pelajar itu sendiri.

Komputer di dalam konteks pendidikan seharusnya mengenal pasti keperluan pelajar, memberi arahan atau pengajaran yang sesuai mengikut peringkat pelajar, memantau dan melapor kemajuan pelajar, menjadi alat pelajar boleh menganalisis data, menulis laporan, dan melayari Internet untuk mendapatkan maklumat bagi meningkatkan pengetahuan mereka dan lain-lain lagi.

memang tidak dapat dinafikan bahawa komputer mampu menyumbang kepada proses pendidikan dalam pelbagai bentuk yang lain, sumbangan komputer adalah berkait rapat dengan kemahiran, pengetahuan, dan komitmen pengguna itu sendiri.

Oleh itu, kebolehan dan kemampuan menggunakan komputer dengan cekap dan berkesan dapat membantu pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Antara halangan utama penggunaan komputer di sekolah ialah kekurangan perkakasan yang terkini (Becker, 1991), kebanyakan sekolah telah dibekalkan dengan perkakasan berteknologi lama, berkualiti rendah dan berkuasa rendah (Hasselbrig, 1991) dan bilangan yang dibekalkan adalah tidak mencukupi (cedoline, 1982; dan Vitchoff, 1989).

Latar Belakang Masalah

Untuk memperkayakan maklumat, generasi pelajar tidak seharusnya bergantung kepada buku teks yang dibekalkan dan bahan-bahan yang disediakan oleh guru semata-mata, tetapi kemahiran mencari maklumat dengan sendiri daripada penggunaan komputer perlu dititikberatkan. Penguasaan sepenuhnya kemahiran menggunakan komputer adalah asas dalam usaha menguasai kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat.

Bagaimanapun, ramai yang menganggap kemunculan ICT akan menjarakkan jurang perbezaan di antara masyarakat di luar bandar dengan bandar memandangkan prasarana masih belum cukup untuk untuk membolehkan mereka disambungkan dengan rangkaian lebuh raya maklumat.

Sekolah di luar bandar masih kurang peralatan komputer serta kemudahan seterusnya penggunaan sepenuhnya di kalangan pelajar.

Malah di sesetengah sekolah masih belum ada makmal komputer untuk digunakan.

Sebagai langkah merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar, kerajaan Malaysia dalam Belanjawan 2001 akan menubuhkan sebanyak 1,262 buah makmal komputer di sekolah-sekolah di luar bandar.

Kerajaan Malaysia yakin kaedah multimedia yang dilengkapi dengan perisian berasaskan falsafah pendidikan negara mampu menghapuskan jurang kualiti pendidikan di antara pelajar luar bandar dan di bandar (Utusan Malaysia, 28 November 2000).


Persoalan Kajian

Selain daripada mengetahui jenis pemperosesan yang sering digunakan dan tujuan komputer ini digunakan pelajar tersebut, kajian ini diharap dapat menjawab beberapa persoalan berikut:

  1. Apakah kecenderungan sikap pelajar terhadap penggunaan komputer?
  2. Apakah tahap pengetahuan pelajar terhadap penggunaan komputer dalam proses pembelajaran?
  3. Apakah tahap kemahiran komputer dalam proses pembelajaran?

Metodologi

Kajian ini dijalankan di sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan di kawasan luar bandar di Kedah.

Oleh itu, dapatan kajian lebih menggambarkan pandangan di tempat penyelidikan dijalankan.

Ini bermakna kemungkinan dapatan kajian adalah berbeza sekiranya kajian ini dijalankan di tempat lain dengan menggunakan instrumen yang sama. Hasil dapatan juga tidak sesuai digeneralisasikan bagi semua sekolah menengah di luar bandar.

Kajian ini melibatkan seramai 130 pelajar lelaki dan perempuan yang dipilih secara rawak daripada seramai 180 pelajar tingkatan 4 di sekolah tersebut.

Mereka adalah pelajar daripada ketiga-tiga aliran iaitu sains, sastera dan teknik.

Kajian ini menggunakan soal selidik yang mengandungi tiga bahagian utama iaitu:

  1. profil responden
  2. jenis pemperosesan dan tujuan penggunaan komputer, dan
  3. Sikap pelajar, tahap pengetahuan dan kemahiran terhadap penggunaan komputer.

Dapatan dan Perbincangan

Responden kajian ini terdiri daripada 60.8 peratus pelajar lelaki dan 39.2 peratus pelajar perempuan.

pelajar-pelajar ini adalah daripada jurusan sains (24.6 peratus), sastera (27.7 peratus) dan teknik (47.7 peratus) daripada 130 responden ini, hanya 19.2 peratus (25 orang) yang menjadi ahli kelab komputer kelab tersebut, manakala 80.8 peratus adalah bukan ahli kelab komputer.

hanya 22.7 peratus daripada responden pernah mengikuti kursus komputer secara formal yang pernah dianjurkan oleh pihak sekolah dan swasta.

Akhir sekali, sebanyak 82.3 peratus daripada responden menyatakan kemudahan komputer yang ada di sekolah tidak mencukupi.

Beberapa jenis perisian telah disenaraikan dan responden telah diminta untuk menyatakan tahap kekerapan untuk setiap jenis perisian pemperosesan yang digunakan.

Didapati Microsoft Word adalah perisian pemprosesan perkataan yang kerap digunakan (63.1 peratus responden) berbanding dengan perisian lain, diikuti oleh Microsoft Excel (28.5 peratus).

Ini adalah tidak menghairankan kerana kedua-dua perisian ini merupakan perisian yang kerap diajar di sekolah-sekolah atau kursus-kursus yang dianjurkan oleh pihak swasta.

Ia juga merupakan perisian yang siap dipasang dalam sebuah komputer yang baru dibeli.

Microsost Word juga merupakan satu perisian pemprosesan perkataan yang asas yang patut diketahui oleh semua pelajar. ia mirip dengan penggunaan mesin taip dan mudah digunakan pelajar.

bagaiamanapun, ada sebanyak 13.1 peratus responden yang tidak pernah menggunakan perisian Microsoft Word. lain-lain perisian yang tidak pernah digunakan oleh pelajar ialah Lotus 123 (74.6 peratus), Power point (67.7 peratus) dan Word Perfect (63.8 peratus).

Komputer adalah satu alat yang mempunyai penggunaan yang luas. Namun demikian, kajian menunjukkan kebanyakan pelajar luar bandar menggunakan alat ini untuk tujuan hiburan.

Contohnya, kebanyakan daripada responden menggunakan komputer sebagai alat untuk bermain games (82.3 peratus), menonton VCD (73.8 peratus), dan tujuan peribadi (39.2 peratus).

Dapatan ini juga menunjukkan sebahagian besar pelajar luar bandar ini tidak pernah menggunakan komputer untuk menghantar e-mel (46.6 peratus), persembahan powerpoint (37.7 peratus), membuat grafik (36.9 peratus), chit chat (36.9 peratus) dan melayari Internet (35.4 peratus).


http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2002&dt=0108&pub=DuniaPendidikan&sec=Kertas_Kerja&pg=kk_01.htm

Assalamualaikum w.r.t

Nama : Wan Azlina Bt Wan Semail
No. Matriks :202264
DPYIK 2